Hari ini dalam kesibukanku bekerja, aku sempat membuka blogku untuk seketika. Ketika dalam bilik fail tadi mindaku pantas bergerak bagaikan satu "kamera digital" yang merakam pelbagai ragam dan bentuk. Dan oleh kerana rakaman itu tidak tersimpan dalam "folder gallery" maka dengan pantas aku membuka komputer dan terus menaip.
Pendedahanku terhadap beberapa laman sosial membuatkan aku sedikit demi sedikit mengenali segelintir sikap dan sifat manusia. Segala komen dan status, dalam ruang info, dalam ruangan suaikenal pelbagai maklumat yang kita baca dan secara automatik ternilai dengan sendiri. Tapi bak kata pepatah Inggeris "Don't judge a book by it's cover", apa pun kita kena selidiki terlebih dahulu baru mengulas.
Walaupun aku tidak lagi aktif menggunakan Facebook dan Twitter, tapi perkembangan rakan-rakan tetap aku ambil tahu. Dan paling menyedihkan bilamana ada rakan-rakan yang menyalah anggap akan ketiadaanku dengan menulis sesuatu yang diluar dugaanku. Tapi itu tidak apalah, aku masih boleh menerima baik kerana mereka memang tidak tahu sebabnya aku tidak lagi aktif menggunakan laman sosial itu tapi lebih selesa beralih kepada blogku ini.
Aku sedar sesuatu sejak kebelakangan ini, menggunakannya dengan aktif menyebabkan banyak keaiban yang berlaku. Dan adakalanya agak lucu juga bila ada yang berkata-kata dengan post-post yang menarik hati, luahan hati, dan sebagainya. Kata nasihat yang berjela-jela, warning yang semacam dan biasalah, kadang-kadang ada pula yang bertukar karekter ON dan OFF menjadi ustaz dan ustazah, ada pula juga yang terus menjadi pakar motivasi mengalahkan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah.
Tapi itulah diri kita sebenarnya, terima atau tidak, sedar mahupun tidak sedikit sebanyak sikap kita ni menjadi perhatian dan menjadi buah mulut orang lain. Sebaik manapun diri kita kadang-kadang kata-kata kita menjadi negatif pada orang lain, apatah lagi jika memang kita seorang yang suka memberontak maka pelbagai andaian ditafsirkan.
Apapun, syukurlah sekurang-kurangnya ada juga kesedaran, ada juga komunikasi walaupun berlainan pendapat. Bagi aku senang saja, ambil yang baik jadikan yang buruk sebagai pengajaran. Terima semuanya kemudian cebis demi cebis kita asingkan, yelah macam kita mengasingkan buah-buahan yang sudah ranum dan ada yang jatuh masak tapi buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan