Isnin, 26 November 2012

IMBASAN MEMORI DUKA


Tarikh 24.11.2012 satu tarikh duka sebenarnya. Kata orang jangan ingati perkara yang lepas dan yang menyakitkan. Tapi aku juga manusia biasa. Hati dan perasaan memang tidak boleh tipu. Ada yang bagi nasihat agar aku sentiasa menipu diri sendiri untuk melupakannya.NAMUN hati aku masih tidak boleh! Kenapa? kerana aku punya rentak sendiri dalam keterusan hidupku selama ini.

Tahun 2004, mungkin selamanya atau tidak akan ku ingati. Terpulanglah apa saja. Aku tidak pernah menjanjikan apa-apa untuk melenyapkan tahun itu daripada sebahagian hidupku. April 2004, aku kehilangan seorang insan yang melahirkan aku kedunia ini. Emak meninggal setelah hampir empat tahun ayah pergi. Sedih tidak terkata, jiwaku terasa kosong, dialah insan paling aku sayangi. Saat terakhirnya yang paling aku ingati adalah pada hari perginya emak, aku sempat menyuapkan emak buah anggur oleh kerana dia menolak diberi makan nasi. Emak lumpuh separuh badan dan kudrat untuk bercakap pun tidak ada. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk menyatakan sesuatu kepada emak. Aku redha emak pergi juga akhirnya tinggalkan kami. Sedih yang teramat, semoga emak bersama-sama orang mukmin disisi Allah. amin.

Selang enam bulan kemudian, kesedihan kehilangan emak belum pulih sepenuhnya. Aku telah berpisah dengan insan yang pernah memberiku cinta sepenuh jiwa dan raganya. Insan yang memberikan aku dua orang cahaya mata sebagai penyeri kehidupan kami. Insan yang aku cintai, aku sayangi dan aku hormati. Aku redha jua perpisahan ini.

Kini sudah lapan tahun kami berpisah. Hubunganku dengannya masih tetap baik dan penuh redha. Alhamdulillah, tuhan berikan aku kekuatan diri. Aku takkan pernah lupakan dia, aku takkan pernah ada rasa benci untuknya. Bukan semuanya salahnya, malah aku juga silap. Hidupku baik-baik saja selepas kami berpisah, begitu juga dia dan anak-anak. Bersyukur ya Allah, aku masih sempat melihat anak-anak membesar depan mata. 24.11.2004, tarikh sedih. Tak apa jika aku tak nak lupakan kerana aku bukan jenis yang suka meratap, malah ku jadikan satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang bersisa ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan