Isnin, 26 November 2012

IMBASAN MEMORI DUKA


Tarikh 24.11.2012 satu tarikh duka sebenarnya. Kata orang jangan ingati perkara yang lepas dan yang menyakitkan. Tapi aku juga manusia biasa. Hati dan perasaan memang tidak boleh tipu. Ada yang bagi nasihat agar aku sentiasa menipu diri sendiri untuk melupakannya.NAMUN hati aku masih tidak boleh! Kenapa? kerana aku punya rentak sendiri dalam keterusan hidupku selama ini.

Tahun 2004, mungkin selamanya atau tidak akan ku ingati. Terpulanglah apa saja. Aku tidak pernah menjanjikan apa-apa untuk melenyapkan tahun itu daripada sebahagian hidupku. April 2004, aku kehilangan seorang insan yang melahirkan aku kedunia ini. Emak meninggal setelah hampir empat tahun ayah pergi. Sedih tidak terkata, jiwaku terasa kosong, dialah insan paling aku sayangi. Saat terakhirnya yang paling aku ingati adalah pada hari perginya emak, aku sempat menyuapkan emak buah anggur oleh kerana dia menolak diberi makan nasi. Emak lumpuh separuh badan dan kudrat untuk bercakap pun tidak ada. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk menyatakan sesuatu kepada emak. Aku redha emak pergi juga akhirnya tinggalkan kami. Sedih yang teramat, semoga emak bersama-sama orang mukmin disisi Allah. amin.

Selang enam bulan kemudian, kesedihan kehilangan emak belum pulih sepenuhnya. Aku telah berpisah dengan insan yang pernah memberiku cinta sepenuh jiwa dan raganya. Insan yang memberikan aku dua orang cahaya mata sebagai penyeri kehidupan kami. Insan yang aku cintai, aku sayangi dan aku hormati. Aku redha jua perpisahan ini.

Kini sudah lapan tahun kami berpisah. Hubunganku dengannya masih tetap baik dan penuh redha. Alhamdulillah, tuhan berikan aku kekuatan diri. Aku takkan pernah lupakan dia, aku takkan pernah ada rasa benci untuknya. Bukan semuanya salahnya, malah aku juga silap. Hidupku baik-baik saja selepas kami berpisah, begitu juga dia dan anak-anak. Bersyukur ya Allah, aku masih sempat melihat anak-anak membesar depan mata. 24.11.2004, tarikh sedih. Tak apa jika aku tak nak lupakan kerana aku bukan jenis yang suka meratap, malah ku jadikan satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang bersisa ini.


Rabu, 21 November 2012

PALESTINE TERUS BERMANDI DARAH.

TERUSKAN SHARE. Anak-Anak GAZA mencari perlindungan. Di dalam gambar ini ada Tentera Israel yang sedang menghendap mereka. Mungkin sekadar menunggu... Atau apapun mungkin terjadi.
 
 
Peperangan hari demi hari terus bergolak di Gaza. Seluruh dunia mendoakan keselamatan rakyat Gaza. Tidak kurang juga ramai yang menghulurkan bantuan ke Gaza. Setiap hari kita sentiasa disajikan dengan berita-berita yang mengguriskan hati melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman rejim zionist.
 
"Ya, Allah, lindungilah hamba-hambaMu di Gaza. hentikanlah peperangan ini dengan izinMu. Bebaskanlah mereka dari kekejaman dari musuh Islam. Berikanlah mereka kebahagiaan di saat Kau belum mendatangkan kiamat ke atas dunia ini. Berikanlah pengajaran yang setimpal keatas rejim zionist yang sentiasa bermaharajalela membunuh sesuka hati ke atas islam di Palestin. Semoga Kau mendengar rintihan dan doa dari kami Umat Nabi Muhammad diseluruh dunia. Amin!".
 
 
 

Isnin, 19 November 2012

I LOVE YOU TOO, STUPIDO!!

 I'm bad and I'm dangerous! - Iris the diva!!
My parfait, perfect! " Sir! How could you! menggoda seorang gadis di bawah umur?" - Iris.
"Bukan di bawah umur, gadis di bawah sedar, di bawah pengaruh kurang cerdik!" - Insp.Ebrahim.
"Untuk bodyguard saya.. yang sangat macho,stylo...dan..." - Iris.
"Dan apa?" - Firman
"Ermm... satu hari dan apa, akan terjawab. So biarkan saja tempat kosong itu " - Iris, pembunuh lelaki tanpa bayang!

" Selama ini saya merasa sepi dan tidak berpunya. Tiba-tiba saja rasa itu menghilang bila saya mula beristighfar..."

Ya, Allah.. satu karya yang indah untuk dibaca, sangat menyentuh hati bila menghayati kita seperti berada didalam situasi yang sukar untuk diucapkan. Kisah kemanusiaan yang penuh dengan rentetan sejarah berdarah, kesedihan, kesengsaraan dan pengajaran namun penuh dengan kasih sayang yang tidak boleh dinilai dan digambarkan kata-kata.

Agama islam agama yang indah bila memahami sebenar-benarnya islam. Unsur-unsur yang menenangkan jiwa dan rohani. Pengetahuan yang terbatas menjadi luas. Sentiasa bermain dengan perasaan suka, duka, sakit perit, pedih. Senyum dan tawa terletus tanpa sedar, airmata mengalir tanpa diminta. kisah yang meruntun jiwa membuatkan kita tersedar dari lena, betapa alpanya hidup selama ini. Allahuakbar!

Firman Ebrahim, Engkau penenang walaupun kadang-kadang engkau brutal dan kasar. Bila kenakalanmu bermula hati menjadi indah. Watakmu mencerminkan engkaulah idaman.
Abang pedas, biar pedas dan panas berapi bisa mencairkan hati yang dingin dan beku menjadi selembut sutera!

Aku pasti akan merinduimu Firman Ebrahim a.k.a Abang Pedas!!

Selasa, 6 November 2012

Tarikh 06/11/2012, anak-anak akan bercuti selama sebulan di kelantan. Pastinya mereka merasa sangat seronok dan teruja kerana inilah kali pertama mereka bercuti jauh dikelantan. Demi kegembiraan anak-anak aku sanggup berjauhan selama sebulan dengan mereka. Di sana mereka akan tinggal bersama kakakku yang telah lama menetap disana.

11.45pagi, penerbangan dari Sandakan-Kuala Lumpur (KLIA) kemudian mereka akan meneruskan penerbangan dari Kuala Lumpur(KLIA) ke Kota Bahru Kelantan pada jam 6.25 petang. Semoga perjalanan anak-anakku berjalan dengan lancar dan selamat. amin.

Mungkin inilah masanya aku harus belajar sekali-sekala melepaskan anak-anak untuk terus belajar berdikari. Walaupun hati sentiasa dilanda kerisauan namun doaku sebagai ibu tetap kakan mengiringi mereka, Insyaallah.

Buat bekas suami, terima kasih abang kerana tetap terus bertanggungjawab terhadap anak-anak. Walaupun kita berpisah namun kasih sayang kita terhadap anak-anak tidak pernah berbelah bagi. Sebagai ayah, aku tahu abang memang sangat menyayangi mereka. Dan terima kasih juga kerana membenarkan aku menjaga dan bersama anak-anak selama ini. Tiada dendam antara kita.

Dan tidak lupa buat keluargaku, kakak-kakakku semua, terima kasih atas segala keprihatinan terhadap anak-anakku. Rasa hiba dan terhutang budi yang tidak terhingga pada kalian. Hanya Allah S.W.T yang mampu membalas budi baik kalian semua, insyaallah, amin.

* nampaknya tinggallah aku sebulan sendirian. arrgghh boringnya!" starting count a day!. (^_^).

Khamis, 1 November 2012


Damai, tenang dan selesa itulah menjadi impianku selama ini. Aku suka dengan suasana yang amat damai jauh dari keriuhan yang membingitkan. Hati semacam aku sememangnya suka dengan keadaan sebegini. Aku ingin menulis, aku ingin menceritakan sesuatu dan berkongsi dengan semua orang. Perjalanan dalam kehidupan sedikit sebanyak memberikan satu inspirasi buat diriku untuk menjadikan ia sebuah kisah.

Namun kerana beberapa komitmen yag harus aku laksanakan, minatku terhadap penulisan terpaksa aku tangguhkan buat seketika. Tunggulah tiba waktunya pasti akan tercapai juga impianku ini. Musim cuti hampir tiba dan inilah masa untuk bercuti dari kerja-kerja yang memeningkan.

Insyaallah, aku tengah berusaha mencari bahan dan maklumat. Aku ingin membuat sedikit kajian tentang sesuatu kisah sebelum aku menulis. Minda ini sebenarnya sarat dengan pelbagai idea dan pelbagai cerita. Namun belum juga berkesempatan untuk aku alihkan ke penulisan. Ya, pasti satu hari nanti aku akan berusaha untuk laksanakan.

Rabu, 11 Julai 2012

(Video) Pra- Wedding dan Majlis Akad Nikah Irma Hasmie dan Redza Azmeer.

(VIDEO) Pra-Wedding Irma Hasmie dan Redza.
Romantik sungguh pertemuan mereka di Tanah Suci Mekah!

Setiap wanita mengimpikan sesuatu yang indah ataupun momen yang terindah untuk dingati sebagai kemanisan hidup berumahtangga dengan insan tersayang. Memiliki seorang lelaki yang mampu menjaga diri kita didunia dan diakhirat. Jika dilihat video pra wedding Irma Hasmie dan Redza Azmeer ini, aku teringat tentang sebuah novel yang paling meruntun dan membuai perasaan pembaca Karya dari penulis Melur Jelita - AWAK SUKA SAYA TAK?. Watak seorang lelaki peranakan Korea-Amerika -Cina, Damien Yong ataupun lebih indah dikenali setelah dia menjadi mualaf yang sayangkan islam, Muhammad Hilman Yong Bin Abdullah. Wajah suami Irma ini lebih kurang apa yang dibayangkan dalam Novel ini.

Puteri Intan Zulaikha atau Intan atau Cik Zulaikha, adalah watak seorang gadis cantik yang agak lincah kemudiannya jatuh cinta dan menjadi kekasih hati Muhammad Hilman Yong Abdullah. Dan bayangan dalam novel itu, Irma Hasmie sangat sesuai sekali dengan ciri-ciri yang digambarkan penulis. Mungkinkah ada situasi sebegini benar-benar berlaku dialam realiti? Jika benar, indah bukan?

Apapun, Selamat pengantin baru buat Irma Hasmie dan Redza Azmeer yang telah melangkah ke dunia baru sebagai pasangan yang halal disisi agama. Semoga restu kedua-dua ibubapa mereka memberikan sejuta kebahagiaan dan kegembiraan buat mereka berdua sehingga ke akhir hayat. Marilah kita berdoa semoga perkahwinan yang dibina setelah pertemuan didepan Kaabah ini akan berkekalan. Amin.. Selamat Berbahagia!.

Majlis Akad Nikah. Tampan dan sama cantik.

Rabu, 27 Jun 2012

SELAMAT TINGGAL WAHAI LELAKI BERDUKA DARI TANAH RENCONG!


SELASA, 26hb Jun 2012, tepat jam 1.30 pagi aku menghabiskan bacaan terakhir dari novel yang paling aku sayangi dan gemari berkisahkan perjalanan hidup watak rekaan penulis Thriller No.1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid iaitu Saifuddin Jalis juga dikenali sebagai Lelaki Berduka Dari Tanah Rencong, Anak Asuhan Arwah Wali Sufi, Lelaki Bertanduk Dua, suami kepada Ratna Sang Ratu, bapa kepada Andika yang juga seorang pendekar yang berasal dari Kampung Punggor iaitu LAKSAMANA SUNAN !

Penulis menggarapkan jalan cerita yang tersusun dan indah. Sentiasa menyelitkan unsur-unsur dakwah dengan begitu baik sekali. Pastinya dengan beberapa rujukan yang harus dikaji terlebih sebelum menjadikan ia sebuah cerita epik yang sangat menarik dan sangat beri kesan yang positif dihati para pembaca.

Bermula dengan novel pertama BAGAIKAN PUTERI, bagaimana relung masa saling bertembung antara abad ke-15 dan abad ke-21. Pertembungan masa silam dan masa hadapan membawa kisah Haryani yang wujud di abad ke 21 terlontar hidupnya semasa dia berada dalam koma di sebuah hospital telah membawa dia bertemu dengan Saifuddin Jalis atau lebih dikenali sebagai Laksamana Sunan. Kemudian kisahnya berlanjutan dengan membuka pintu hati Saifuddin kepada cinta dihati, CINTA SANG RATU kesinambungan kisahnya ditulis. Namun sebagai lelaki yang bertakwa dan melebihkan cintanya pada Tuhan, niat untuk menyelamatkan hidup seorang wanita yang dikenali sebagai Ratu Sulaman dari Pulau Utara, anak asuhan kepada Maharani, berakhir apabila Laksamana Sunan berjaya mengetuk pintu hati Ratu Sulaman untuk meninggalkan kehidupan gelapnya dengan kalimah Syahadah yang terzahir dari hati dan bibirnya. Dengan penuh kesyukuran Laksamana Sunan akhirnya menikahi Ratu Sulaman untuk membimbingnya menjadi seorang wanita muslimah yang sejati kemudian namanya di tukar menjadi Ratna, cinta hati Laksamana Sunan.

Begitulah kisahnya berlanjutan hinggalah perjalanan pahit maung, suka dan dukanya dalam membanteras kejahatan dan kekufuran dibawa dan ditulis dengan jalan cerita yang lebih suspen penuh dengan dakwah keagungan islam. Watak-watak lagenda dan sejarah seperti Hang Tuah, Alfonso De Alburquerque, peristiwa di Aceh seperti Tsunami digabungkan menjadikan Laksamana Sunan lebih ditakuti musuh-musuh islam, disegani dan juga disayangi. HIJAB SANG PENCINTA, CINTA SUFI, SUTERA BIDADARI melakarkan perjuangan seorang lelaki yang tabah, bertaqwa, bertawakal dan sentiasa mensyukuri anugerah tuhan kepada dirinya.

Namun segala yang bermula pasti akan berakhir. Apabila usia beransur beranjak, perlu ada penamat dan juga pelapisnya. Laksamana Sunan hidup bahagia disamping isteri dan anak tercintanya. Ciri-ciri hidupnya bakal diwarisi oleh anaknya Andika. Dengan asuhan dan didikan agama untuk menjadikan anaknya sentiasa bersiaga dan bersedia, Laksamana Sunan mempersiapkan Andika dengan ilmu agama yang tinggi dan ilmu kepahlawanan agar Andika bisa menghadapi segala ancaman dengan tenang setelah pemergiaannya nanti. Laksamana Sunan sentiasa berbangga dengan Andika dan kerana itu Laksamana Sunan menggelarkan anaknya SUNAN MUSAFIR!

Isnin, 18 Jun 2012

My Name Is ANGRY BIRD!



Dia duduk berpeluk tubuh, wajahnya nampak tegang dan merona merah. Bukan merona merah kerana malu tapi kerana menahan rasa marah. Dipandang tajam wajah temannya yang menyebabkan dia menahan rasa sedemikian.
" Jia, aku minta maaf ok, aku tak tahu pun perkara macam ini terjadi!" Temannya yang dipandangnya tajam itu akhirnya bersuara. Tingkah temannya itu tidak tentu arah mungkin kerana renungan tajam yang dihadiah padanya.
"Aku tak suka kau buat macam ni, kau ingat aku ni terdesak sangat ke?!" Kemarahannya terluah namun tiada rasa lega yang terasa dihatinya. Semuanya bercampur baur di saat ini.
"Maafkan aku Jia". Meen tertunduk sayu. Bibirnya tergetar sedikit menahan sesuatu yang bersarang dilubuk hatinya.
" Aku nak tanya kau, macam mana kau boleh kenal orang tu?" Tanyanya lagi pada Meen.
" Errr...kenal kat Facebook". Jawab Meen tanpa memandangnya.
" Kawan kau atau kawan kau punya kawan atau kau sendiri tak kenal mamat tu?" Soalnya lagi pada Meen. Jasmeen yang tertunduk mengangkat wajahnya. Kelihatan ada raut serba salah yang terpamer.
" Errrr...kawan punya kawan kat Facebook, dia tengah mencari seseorang masa tu". Jawab Jasmeen.
" Owhh..sebab itu lah kau berani tanpa bertanya pada aku ya?" Masih ada nada marahnya pada Jasmeen.
" Ermm.." Hanya itu yang mampu dijawab oleh Jasmeen.
" Huh!!" Arjiana mengeluh keras. Dia meneguk minuman " Ice Blended Chocolate" yang dipesannya tadi. Dia memandang Jasmeen yang masih lagi dengan tingkahnya menundukkan wajah sambil menguis-guis hujung tali beg sandangnya.
" Lain kali jangan buat lagi! kau tahu bukan aku tak suka cara begini?!" Dia mengetuk meja, geramnya masih bersisa. Jasmeen yang tertunduk cepat-cepat mengangguk akibat terkejut.
"Okay, aku janji lain kali aku tanya kau dulu ya".
" Tak payah dan tak ada lain kali, aku tak nak!" Putusnya. Memang dia tidak suka Jasmeen memadankannya dengan mana-mana lelaki. Walaupun Jasmeen teman serumahnya tapi banyak yang Jasmeen tidak tahu mengenai dirinya. Entah kenapa bukan semua dia perlu ceritakan pada Jasmeen. Bukan dia tidak percaya pada Jasmeen sebagai temannya tapi baginya setiap diri seseorang ada rahsia yang tidak patut dikongsi oleh orang lain.

Mereka melayan rasa hati tanpa sepatah kata antara mereka. Jasmeen sibuk dengan iPadnya, dia pula cuba membaca majalah Solusi yang dibelinya dikedai buku yang penuh "sejarahnya" tadi. Namun minda dan hatinya menerawang mengimbas sesuatu yang telah terjadi. Pipinya kembung, wajahnya kembali merona merah. Dipandangnya Jasmeen, temannya itu seakan mengulum senyum melayan ipadnya tapi dia tahu Jasmeen menyimpan sesuatu.
" Ehem ! "... Dia menghulurkan tangannya pada Jasmeen. Jasmeen terkejut dengan tingkahnya yang tiba-tiba itu. Namun disambut juga oleh Jasmeen dan mengenggam erat tangannya.
" Ermmm... my name is Angry Bird !" Jasmeen memandangnya lalu terlepaslah ketawa yang sememangnya ditahan dari tadi.Ketawa mereka mengundang perhatian orang lain yang duduk berdekatan dengan mereka berdua. Dia menggeleng kepalanya mengingati kejadian tadi. Kalau boleh dia nak gelak masa tu juga tapi akibat marah dan terkejut dengan tindakan Jasmeen, dia berusaha sedaya upaya untuk menahan dan menyembunyikan rasa geli hatinya pada perkenalannya dengan mamat berwajah manis, rambut pacak ala-ala Naruto namun memperkenalkan dirinya sebagai si "Angry Bird"!. Selepas kejadian itu, menjadi satu "trademark" mereka memperkenalkan diri mereka kepada sesiapa saja yang bertanya nama mereka. Pasti mereka akan berkata " Hai, my name is Angry Bird!".

Entahlah kenapa orang sekarang suka sangat menggunakan nama-nama ganjil untuk setiap akaun laman sosial mereka. Kalau kata mereka tidak ingin dikenali tapi boleh pula upload dan publish gambar-gambar dengan pelbagai aksi di Faceebook danTwitter. Namun bila ditanya nama sebenar seolah-olah keberatan untuk memberitahu yang sebenarnya. Mereka berbangga memperkenalkan diri dengan nama watak animasi yang mereka minati. Sebagaimana yang berlaku di Jepun, remaja-remaja mereka menukar karater menjadi watak animasi kesukaan mereka. Tanpa ada perasaan segan silu mereka membawa keluar watak animasi dari fantasi ke alam realiti.Mereka menggayakan watak-watak itu dari hujung rambut hingga hujung kaki. Dan dia amat tidak menyangka apa yang berlaku di negara Jepun itu membawa perkenalannya dan berjumpa dengan si "Angry Bird"...  persoalannya, kenapa Burung Itu Marah???!

Semoga tersenyum! Jumpa lagi.

Jumaat, 15 Jun 2012

Isnin, 11 Jun 2012

UEFA EURO 2012.

Bermulalah sudah musim bola EURO 2012 !. Facebook dan Twitter "busy" dengan cerita pasal bola dan negara mana yang menjadi pilihan untuk masuk keperingkat seterusnya dan menjadi JUARA EURO 2012 !

Rakan sekerja terutama lelaki pastinya bersengkang mata menonton perlawanan yang disiarkan secara langsung samada di TV tempatan atau pun  melanggan Channel Sport Astro. Anak bujangku apa kurangnya terutama yang sulung. Siaran TV semuanya tentang bola. Tidak kira ulang tayang, dokumentari tentang perlawanan terdahulu EURO sepanjang zaman sememangnya menjadi kegemarannya dirumah. Ada bagusnya juga sedikit sebanyak dia mempelajari dan mengetahui tentang perjalanan sukan bola yang menjadi kegemarannya ini. Kata orang bila kita menyukai sesuatu kita kenalah tahu tentang apa saja yang berkaitan tentang itu.

Sampai sini dululah, ada masa akan ku update cerita lain pula. Jumpa lagi!

Khamis, 17 Mei 2012

Gambaran Rasa.

Adakala kita merasa sesuatu yang perit atau happy dalam diri. Ada masa kita sentiasa tersenyum apabila ada sesuatu yang menyenangkan rasa. Tidak kurang juga ada suatu ketika kita merasa sedih apabila berada dalam sesuatu situasi.

Kita selalu mengharapkan sesuatu yang baik berlaku dalam kehidupan kita. Kita inginkan suasana yang membuatkan kita berada dalam keadaan yang segar, ceria dan bersemangat dalam mengharungi hari-hari seterusnya.

Namun siapalah kita untuk menetapkan apa yang diharapkan akan berkekalan. Kata pepatah yang selalu dituturkan oleh masyarakat dizaman ini, " inginkan kebahagiaan perlukan pengorbanan". Maknanya kita perlu merasa semua sakit, perit, derita, sengsara, terluka dan bersedih untuk menuju kearah yang diimpikan.

Tapi bagaimana pula jika semua itu telah dilakukan? macam mana pula semua situasi itu telah diharungi dan dilalui dengan begitu payah sekali, namun masih menerima jawapan yang membuatkan hati kita jatuh, sedih dan kecewa? perlukah lagi pengorbanan selanjutnya? untuk tempoh yang berapa lama pula kali ini? Persoalannya, sanggup lagi kah kita untuk berada dalam situasi sedemikian?.

Ada orang mengecapi impian setelah bertahun-tahun menanggung semua rasa dalam diri. Ada yang mampu memikul bebanan perasaan dan kesakitan bertahun lamanya. Hingga suatu saat dia mendapatkan segala yang menjadi impian walau hanya bertahan seketika cuma.

Hanya tuhan yang tahu segalanya. Hanya pada tuhan tempat untuk mengadu segalanya. Ya Allah ! bahagiakan aku, bahagiakan seluruh jiwa dan ragaku, berikan kekuatan dalam diri, mohon padaMu Ya Allah, tenangkan jiwaku agar aku mendapat kenikmatan anugerah dariMu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin !

Jumaat, 11 Mei 2012

Mana Mak ????


Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab.

Jumaat, 27 April 2012

Number One For Me - Maher Zain


Maher Zain, lagu-lagunya sentiasa mendapat tempat dihati para peminatnya. Dengan senyuman yang sering diterukir d wajahnya membuatkan dia menjadi kegilaan kepada wanita-wanita diluar sana. Tapi Sorry ya, makcik-makcik, adik-adik, kakak-kakak, Maher Zain sudah kahwin ya...hehehe... hayati lagu dan liriknya. Sesuai bagi yang menyambut hari Ibu pada bulan ni. Dedikasikan lagu ini pada Ibu kita.

Number One For Me - Lyrics:

I was a foolish little child
Crazy things I used to do
And all the pain I put you through
Mama now I'm here for you
For all the times I made you cry
The days I told you lies
Now it's time for you to rise
For all the things you sacrificed

Chorus:
Oh, if I could turn back time rewind
If I could make it undone
I swear that I would
I would make it up to you
Mum I'm all grown up now
It's a brand new day
I'd like to put a smile on your face every day
Mum I'm all grown up now
And it's not too late
I'd like to put a smile on your face every day

And now I finally understand
Your famous line
About the day I'd face in time
'Cause now I've got a child of mine
And even though I was so bad
I've learned so much from you
Now I'm trying to do it too
Love my kid the way you do

CHORUS

You know you are the number one for me (x3)
Oh, oh, number one for me
There's no one in this world that can take your place
Oh, I'm sorry for ever taking you for granted, ooh
I will use every chance I get
To make you smile, whenever I'm around you
Now I will try to love you like you love me
Only God knows how much you mean to me

CHORUS

You know you are the number one for me (x3)

Oh, oh, number one for me

Khamis, 29 Mac 2012

Macam Best.

(NOVEL TERBARU) LOVE YOU MR.ARROGANT - Aliesha Kirana

Novel ini menduduki no 2 Carta Bestseller di MPH.

Zaara Amirah punya impian yang sama seperti impian tipikal gadis biasa, iaitu membina rumah tangga yang bahagia bersama insan yang dic...intainya. Namun impiannya musnah sebaik saja dia terjerat di dalam perangkap lamaran paksa dari seorang jejaka yang asing dalam hidupnya, Zafriel Irham. Dek kerana ingin terlepas dari genggaman Sherry, menantu pilihan ibunya, Zafriel Irham memaksa Zaara Amirah menjadi isterinya dengan menjadikan sebuah janji sebagai modal.

"Itu harga yang kau perlu bayar sebab tak kotakan janji. Sekarang jangan banyak cakap, kahwin dengan aku. Titik." – Zafriel Irham

Demi sebuah janji, Zaara Amirah reda menerima kehendak Ilahi. Biarpun tiada cinta, Zaara Amirah rela demi menjaga maruah diri dan keluarganya dari dipijak-pijak jejaka bongkak itu sewenang-wenangnya. Namun Zaara Amirah tidak menyangka, keputusannya itu membuatkan hidupnya kacau-bilau melayan karenah Zafriel Irham yang berhati kering dan tinggi egonya.

"Apa? Atas lantai ni?"

"Kat mana-mana saja yang kau suka. Tapi bukan atas katil mahal aku ni. Buat kotor saja."

"Kotor? Awak yang nak kahwin dengan saya kan, lepas tu awak cakap saya kotor pulak? Kalau awak tahu saya kotor, buat apa awak kahwin dengan saya? Awak fikir tak perasaan saya bila awak paksa saya kahwin dengan awak dulu? Awak fikir pasal diri awak saja, kan? Pasal saya ni awak tak fikir langsung. Awak ni memang tak guna!"

Berhadapan pula dengan Puan Sri Maryam, ibu mertuanya dan Sherry yang membenci dirinya, hidup Zaara Amirah tidak lagi aman. Kehadiran Hadry Hakimi, sepupu Zafriel Irham yang cuba merapatinya, mengeruhkan lagi keadaan.
Keadaan bertambah parah apabila tanpa sedar, dia telah jatuh hati pada suaminya biarpun dia tidak dilayan seperti seorang wanita yang bergelar isteri.

"Aduhh! Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa rindu sangat ni? Macam orang gila bayang saja lagaknya ni. Padahal baru beberapa jam dia pergi. Takkanlah aku dah jatuh hati dengan mamat berlagak tu? Aduhh… tapi..." – Zaara Amirah

Adakah kebahagiaan akan menjenguk hidup Zaara Amirah apabila dia sudah jatuh hati pada jejaka bongkak itu? Atau menunggu balasan jejaka itu ibarat bulan pada waktu malam menanti matahari menjelma pada waktu siang? Zaara Amirah terus menanti...

Judul : Love you Mr.Arrogant
Penulis : Aliesha Kirana
Penerbit : KaryaSeni
Semenanjung : RM18
Sabah/Sarawak : RM21

Rabu, 21 Mac 2012

Bangkit Dari Kejatuhan.

Dia dah ambil milikku, aku redha walaupun hakikatnya pedih!
Dia dah ubah hidupku, aku perbaiki walaupun aku bersusah payah!
Dia jauhkan aku dari kasih dan sayang, aku mencari dan bersyukur kerana kasih dan sayang aku perolehi dari ramai orang!
Dia menjatuhkan aku, namun aku bangkit dan terus berjalan walaupun ada duri disetiap langkahanku.
Dan bezanya : -
KERANA AKU BUKAN DIA, DIA JUGA BUKAN AKU!

Isnin, 19 Mac 2012

Penulisan dan Karyaku.


Agak lama juga aku tidak update apa-apa cerita dalam blog ini. Pertukaran tugas diPejabat membuatkan aku terus sibuk dengan hal dunia kantor!.  Namun setiap kali aku membuat kerja-kerja dimeja pejabatku ni, minda terus memainkan peranan. Banyak idea dan banyak bahan yang ingin aku kongsikan tapi waktu membataskan penulisanku.

Seperti gambar kanak-kanak yang sedang berdoa itu, aku juga ingin memohon pada Allah S.W.T supaya aku selalu diberkati, dijadikan wanita setabah wanita-wanita yang berjuang dan sabar dizaman Rasulullah! Amin.

Khamis, 16 Februari 2012

Mimpi !!!

Dalam jam 4.30 pagi aku terjaga dari tidur, bunyi alarm handphone dendangan lagu Misz Nina dan Pittbull kuat di pendengaranku. Rupa-rupanya handphoneku dibawah bantal ! terputus mimpiku ! cisssss.....hehe

Mimpiku?? ya aku suka dengan mimpiku !! tapi malaslah aku mahu cerita..hehehe sowey!

Aku nak buat kerja.. harap-harap di unit baru ni tiada huru-hara macam filem 2012, tiada keriuhan macam mau pilihanraya... tiada gaduh-gaduh macam bekalan habis sebab darurat..hehehe... tapi yang aku malas tu ada pulak sudah tu " harimau andartu" balik kerja! cutilaaaaaaaaa bah lama sikit ! amannnnnnnnnn !!!

Selasa, 14 Februari 2012

Problem !

aiiiii ! itulah keluhan demi keluhan yang didengari sejak pertukaran dalaman kakitangan di bahagian ini. Macam-macam keluhan, cerita dan ragam dapat dilihat. Aku juga tidak terkecuali, cuma aku lebih selesa untuk banyak mendiamkan diri dan mengikut saja. Susah juga bila si timun ni nak berurusan dengan si durian.

Hari pertama aku duduk ditempatku yang baru. Namun aku tidak ingin lepas tangan begitu saja. Kerja-kerja yang masih tertunggak aku cuba sedaya upaya untuk bereskan secepat mungkin. Kasihan juga pada kak "T". Baru bulan kedua di tahun 2012 ini, masih banyak bulan lagi yang hendak difikirkan selagi masih berada di bahagian yang dipanggil rakan sekerja sebagai "PENJARA". Ya, mungkin di lain bulan pulak ada lagi susulan pertukaran dalaman, mana tahu kan... entahlah.

Aku nak menulis semula, aku nak habiskan cerita dan cerpen yang separuh kutulis.. insyaallah jika waktu mengizinkan. Novel yang baru aku beli pun, asyik dibawa kesana-kemari tanpa membacanya. Sibuk dengan tugas, letih dan mood untuk menumpukan pada pembacaan kurang... oklah... jumpa di entry lain..

Jumaat, 10 Februari 2012

Last Day at Administration Office !

Hari ini hari terakhir kami di Unit Pentadbiran. Boss baru di Unit Seksyen hasil sedang membuat senarai tugas untuk kami berdua, aku dan Kak Niah. Namun masih banyak kerja yang belum siap aku selesaikan. Mungkin jika tidak dapat disiapkan hari ini aku akan sambung pada hari isnin nanti.

Ada kelegaan juga dihati bertukar unit kerana tidaklah lagi merasa "kurang aman" dengan permintaan Cik Diktator Andartu tu. bikin sebal aja ! Insyaallah dengan tugas baru nanti aku akan cuba sedaya upaya untuk bertugas dengan baik.

Setelah mendengar sok-sek-sok-sek mengenai si andartu itu, rupanya dahulu pernah juga membuat perangai kurang ajarnya itu kepada orang yang lebih senior lagi dari dia. Dan aku tidak faham kenapa dia begitu angkuh dan sombong dengan jawatan dan status. Jika dilihat dan dinilai tiadalah yang menarik dan boleh dikagumi pun hasil kerjanya. Malah semua kerja-kerja yang sepatutnya dia lakukan, dilaksanakan dan diselesaikan oleh pekerja bawahan. Itu yang aku lihat sendiri semasa bertugas di Unit Perbelanjaan.

Sikapnya terlalu hipokrit, katanya berbelit dan angkuh !. Mungkin dia fikir dengan berfikir garang yang tidak kena tempat orang ketakutan dan tunduk padanya, tapi dia tidak tahu bahawa staff bawahannya tidak pernah takut dan hormat akan dia, cuma memilih untuk mendiamkan diri kerana malas melayan gila meroyannya tu.

Last day! kena habiskan mana yang dapat sebelum Kakak "T" menggantikan tugasku disini. Kalau tidak dapat dihabiskan pun aku pasti akan membantunya. Sayonara administration!!

Khamis, 9 Februari 2012

Akhirnya!

Seperti biasa aku masuk office seawal jam 6.40pg selepas menghantar putera-putera kesayanganku kesekolah. Aku agak mengantuk hari ini dan bercadang untuk santai dan rehat dengan mencuri-curi masa sedikit dari jadual tugas sebenar. Dan semasa berada di bilik fail, Mr."S" despatch boy kami sedang membuat fotostat surat-surat rasmi. Rupa-rupanya pertukaran dalaman dalam pejabat dan aku terlibat sama!
Yahoooooo!!! itu yang dapat aku suarakan bila melihat namaku tertera sama dalam surat pertukaran. Dari bahagian Unit Pentadbiran ke Unit Seksyen Hasil. Bukan aku tidak suka dengan  unit pentadbiran ini, aku suka sebenarnya apatah lagi aku berada dalam kawalan ketua unit yang sungguh sporting seperti Pn.Niah. Dan yang lebih memeranjatkan lagi, aku dan Pn. Niah sama-sama bertukar unit ke Unit Seksyen Hasil ! yess!! hari yang penuh senyuman, gelak dan tawa dan juga penuh dengan kisah lucu.

Suka?? kenapa? terlepas dari cengkaman diktator andartu Cik "NHM" dan si ular belit yang alim-alim kucing. Walaupun masih berada didalam kawalan mereka juga, tapi kerja yang akan kami buat langsung tidak "direct" dengan mereka lagi. Sikit-sikit tu adalah kerana apa pun mereka tetap pegawai atasan bahagian ini. Dan aku juga tidak lagi sakit kepala melayan karenah mereka yang "gila-gila" sikit mengenakan kakitangan bawahan. Ramai mengeluh, ramai menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, namun apa yang mampu dilakukan hanyalah menerima dan terus menerima walaupun marah dan kecil hati. "Mereka " itu takkan ambil peduli suara "rakyat" tempat mereka memerintah ini....yelah! siapalah kami ini dibandingkan mereka yang cukup gah dengan jawatan dan status... MISKIN BAH KAMI NI ! tapi kami ada maruah dan harga diri itu yang harus diingat!

Dan dalam kesibukan untuk menyelesaikan saki-baki kerja yang tertinggal dan tertunggak, aku sempat mengemas barang-barang untuk dimasukkan kedalam kotak. Tarikh pertukaran kami berkuatkuasa pada minggu depan hari isnin. Senang sikit bila dah berkemas hanya terus angkat ke meja baru pula nanti sementara aku menyiapkan tugas-tugas akhirku yang berbaki hanya tinggal dua hari. Tak apalah, bagi aku segala yang berlaku aku terima saja samada suka atau tidak aku pandai-pandailah bawa diri. Walau bagaimanapun kadang terasa ketidak adilan itu masih wujud sudah lumrah orang makan gaji terpaksalah patuh. Sumpah telah termeterai semasa AKU JANJI dahulu...patuhhlaaaaaaa sangat!

Trademark kami apabila ada perkara membinggungkan dikalangan kami " SABAR DAN TABAH".

Rabu, 8 Februari 2012

Ragam Manusia

Hari ini dalam kesibukanku bekerja, aku sempat membuka blogku untuk seketika. Ketika dalam bilik fail tadi mindaku pantas bergerak bagaikan satu "kamera digital" yang merakam pelbagai ragam dan bentuk. Dan oleh kerana rakaman itu tidak tersimpan dalam "folder gallery" maka dengan pantas aku membuka komputer dan terus menaip.

Pendedahanku terhadap beberapa laman sosial membuatkan aku  sedikit demi sedikit mengenali segelintir sikap dan sifat manusia. Segala komen dan status, dalam ruang info, dalam ruangan suaikenal pelbagai maklumat yang kita baca dan secara automatik ternilai dengan sendiri. Tapi bak kata pepatah Inggeris "Don't judge a book by it's cover", apa pun kita kena selidiki terlebih dahulu baru mengulas.

Walaupun aku tidak lagi aktif menggunakan Facebook dan Twitter, tapi perkembangan rakan-rakan tetap aku ambil tahu. Dan paling menyedihkan bilamana ada rakan-rakan yang menyalah anggap akan ketiadaanku dengan menulis sesuatu yang diluar dugaanku. Tapi itu tidak apalah, aku masih boleh menerima baik kerana mereka memang tidak tahu sebabnya aku tidak lagi aktif menggunakan laman sosial itu tapi lebih selesa beralih kepada blogku ini.

Aku sedar sesuatu sejak kebelakangan ini, menggunakannya dengan aktif menyebabkan banyak keaiban yang berlaku. Dan adakalanya agak lucu juga bila ada yang berkata-kata dengan post-post yang menarik hati, luahan hati, dan sebagainya. Kata nasihat yang berjela-jela, warning yang semacam dan biasalah, kadang-kadang ada pula yang bertukar karekter ON dan OFF menjadi ustaz dan ustazah, ada pula juga yang terus menjadi pakar motivasi mengalahkan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah.

Tapi itulah diri kita sebenarnya, terima atau tidak, sedar mahupun tidak sedikit sebanyak sikap kita ni menjadi perhatian dan menjadi buah mulut orang lain. Sebaik manapun diri kita kadang-kadang kata-kata kita menjadi negatif pada orang lain, apatah lagi jika memang kita seorang yang suka memberontak maka pelbagai andaian ditafsirkan.

Apapun, syukurlah sekurang-kurangnya ada juga kesedaran, ada juga komunikasi walaupun berlainan pendapat. Bagi aku senang saja, ambil yang baik jadikan yang buruk sebagai pengajaran. Terima semuanya kemudian cebis demi cebis kita asingkan, yelah macam kita mengasingkan buah-buahan yang sudah ranum dan ada yang jatuh masak tapi buruk.



"Mr.Niceman" - Episod 2

Sebelum aku nak masuk tidur, aku nak update dulu cerita tentang "Mr.Niceman" ini.

Dalam pukul 11.00 tadi, seperti biasa aku online menggunakan ID YM . "Mr.Niceman" yang memang online terus menyapaku. Cuma malam ini dia agak berlainan sikit dari malam-malam sebelumnya dimana dia begitu rancak bercerita. Curiousity menyebabkan aku perlahan-lahan cuba membuatkan dia meluahkan apa yang dia cuba pendamkan. Dan akhirnya dia memberitahu dia ingin balik semula ke Kuala Lumpur kerana dia mengalami satu peristiwa yang terjadi dalam familynya. Dan sebagai menghormatinya, tak perlulah aku bercerita pula diblog ku ini tentang masalahnya. Aku juga kena menghormatinya kerana dia ada sedikit kepercayaan padaku untuk berkongsi kisahnya.

Oh ya! lupa nak beritahu, "Mr.Niceman" ini orang melayu yang berasal dari Kuala Lumpur. Dia tidak pula bercerita bagaimana dia boleh datang keSabah dan menetap disini. Mungkin adalah tu kisahnya cuma dia rasa belum masanya dia ceritakan semuanya padaku. Dan aku sebenarnya tidak kisah pun jika dia langsung tak beritahu sebab dan musababnya kerana itu adalah kisah peribadinya.Ya, kalau percaya padaku ceritalah, luahkanlah, tapi jika timbul curiga dan kurang yakin padaku baik jangan ceritakan lebih baik simpan saja dalam hati.

Memandangkan "Mr.Niceman" agak kurang semangat malam ni, tak banyak isu dan topik yang kami bualkan. Dia juga berterus terang keadaannya malam ni dan memintaku agar tidak ambil kisah. Ermm! aku faham dan tak kisah, cuma satu permintaannya yang agak berlainan sikit iaitu meminta aku agar menjadi pendengar setia buatnya, menjadi teman yang mesra-mesra gitu! hahaha...tapi dengan pantas aku memberi jawapan padanya, " U, menjadi pendengar setia mungkin boleh, tapi teman mesra-mesra yang gitu tu minta maaflah banyak-banyak yer, tak mampu den nak nolongnya!".. jawapanku disambut dengan gelaknya "hahahahaha.... u dah lain fikirlah" katanya.. opsss! aku ke yang lain fikir atau sememangnya itulah sebenarnya yang difikirkan?! ah! whateverlaaaa....

So, jika "Mr.Niceman" mood dah okay, adalah tu episod 3. But now, 12.32am already! sleepy and GUDNITE!

Selasa, 7 Februari 2012

Teman Chatting - Episod 1

Sudah lama aku tidak menggunakan YM (Yahoo Messenger), sejak kebelakangan ini tergerak hati mahu menggunakan semula dan melihat kawan-kawan yang telah di "add" sejak sekian lama. Dua hari lalu, aku masuk semula ke "Room Sabah". Chaters kebanyakkannya masih budak-budak remaja.  Bila mereka nampak saja ID ku yang sengaja ku buat agak berlainan sikit, bermulalah PM(Private Message) masuk satu demi satu.

Nak dipendekkan cerita, dalam ramai-ramai chaters yang menegur dan ingin berkenalan, hanya dua orang yang boleh dan agak selesa dibawa berbual secara matang. Ya, mungkin sesuai dengan umurku. Seorang menggunakan nama samaran " Mr. Niceman" dan seorang lagi terang-terangan menggunakan nama sebenarnya "Matnor". Dalam perbualanku dengan Matnor, dalam perkiraanku dia ini seorang yang agak nakal, penuh dengan sense of humor, banyak berteka teki dan selalu berandaian. Aku hanya bersembang dengan santai saja dengan "Matnor".

Lain cerita pula dengan seorang lelaki yang menggunakan nama samaran " Mr. Niceman". Dia ini kalau nak berbual kena berhati-hati kerana dari perbualan saja dia boleh mengandaikan sesuatu itu dengan tepat. Dan ku kira dia ini seorang lelaki yang cukup matang dalam pergaulan dan pemikiran. Dan semalam, akhirnya dia memberitahu dia mempunyai isteri dan anak. Dulu dia bekerja dengan kerajaan tapi dia ambil bersara awal kerana menurutnya susah nak maju dengan makan gaji. Akhirnya dia membuat bisnes yang dikatanya hanyalah kecil-kecilan. Mungkin betul atau tidak, manalah aku tahu, aku tak kenal pun!..hehe.

Pada mulanya aku hanya suka-suka hendak berbual-bual dengan chaters yang ada, tapi memandangkan perbualanku dengan "Mr.Niceman" banyak tertumpu tentang isu semasa, aku jadi selesa. Yelah, kebanyakkan chaters yang ada kalau nak berbual takda benda lain nak fikir, asyik benda tidak baik saja. Bila PM saja tanya "asl pls" atau " u dh ada bf" dan lebih parah lagi " i suka dgn u, boleh jadi couple?" Mak aii !! kalau terkena dengan budak dengan budak memang confirm jadi punya! tapi sorry dik ya, yang chat ni mama budak dah...berbalik pada "Mr.Niceman", keterus-terangannya bahawa dia ada mempunyai isteri dan anak membuat aku bertanya padanya, kenapa dia mencari teman berbual dikala malam? "Mr. Niceman" mengatakan dia perlu komunikasi. Komunikasi? kenapa? kurang komunikasikah dia dengan isteri dirumah?. Aku tidak ingin bertanya lanjut lagi kerana jika melibatkan rumahtangga orang lain aku kena lebih menghormati. Tapi kalau seseorang itu yang memilih aku untuk dijadikan pendengar yang baik, akan aku pertimbangkan.

Begitulah lumrah manusia yang berpasangan, bila bercinta segalanya manis dan bila berkahwin segalanya menjadi natural tidak lagi menjadi luar biasa. Sebab apa kadang-kadang kita jadi begitu? kerana kita sudah cukup yakin orang yang kita bercinta selama itu telah pun menjadi milik kita, dia sudah didepan mata dan selamanya mungkin akan sentiasa ada dengan kita.Yang masih dalam mood bercinta ni lain, rindu memanjang, jiwang kadang tidak kena tempat kerana pembawaan hati yang berbunga..asyik dengan telefon dan SMS, selalu resah dan memikirkan jika tidak bertemu, sidia sedang berbuat apa, dimana dan dengan siapa. Kalau fikir balik lucu dan benar.

Okaylah, "Mr. Niceman" menarik minatku untuk menulis tentang dia. Tujuan sebenar aku ingin bersembang dilaman sosial itu adalah mencari idea dengan segala yang berlaku disitu, dan dari sembang-sembang yang aku dapat, banyak yang menarik kerana pelbagai ragam dan rentak yang kalau kita ambil secara positif patut kita kongsikan. Ermm! aku nak buat apa juga dengan usia yang cecah 30an ini membuat hal budak-budak, tidak bermakna kalau aku nak menjadi remaja dan berperasaan remaja!..hahaha.. aku ada anak remaja dah. Tujuan paling utama aku melayari setiap blog, artikel dan laman sosial di internet adalah ingin mencari bahan untuk ku tulis kerana aku suka MENULIS.

So, episod 2 akan di update nanti bersama kisah aku dengan "Mr. Niceman". Sorry "Mr.Niceman"...hehe

Isnin, 6 Februari 2012

Moody !

Moody! ya, hari ni aku macam tidak betul ! mood tak tentu arah.. kesian anak-anak terpaksa mendiamkan diri ataupun bila inginkan sesuatu mereka berhati-hati agar aku tidak rasa terganggu atau pun boleh menimbulkan kemarahanku. Ya! itulah aku yang adakalanya orang tak faham dan tidak tahu.

Sejak kebelakangan jiwa menjadi kacau bilau. Masalah ditempat kerja juga menyebabkan aku selalu tension. Masalah peribadi lagilah banyak tapi itulah yang terpaksa aku hadapi dan cuba menyelesaikan. Waktu aku tengah miasak tadi aku terfikir kenapa tuhan terlalu banyak memberiku ujian dan dugaan? apakah aku benar-benar seorang wanita yang kuat mengharunginya? Entahlah, adakalanya aku terasa penat dengan semua yang terjadi. Aku letih asyik membuat dan menyelesaikan pelbagai hal. Hidup sendiri bukan mudah, banyak cabaran dan menyakitkan kepala. Jika tidak sabar dan tabah pasti hidup tunggang langgang!

Huh! oklah.. nak rehat esok dah bertugas semula. Hanya blog ini tempatku meluahkan rasaku...bye!

Sabtu, 4 Februari 2012

Salam Maulidur Rasul.


Esok adalah hari kelahiran Nabi kesayangan kita Nabi Muhammad S.A.W. Selawatlah keatas nabi. Semoga kisah perjuangan beliau menjadi tonggak kekuatan kita. SALAM MAULIDUR RASUL!

Jumaat, 3 Februari 2012

Nak Belajar !

Arggghhh ! seharian aku cuba belajar nak buat header untuk blog aku ni. Tapi apasal aku masih belum dapat lagi?! pengetahuan ku tentang semua ni masih mentah. Nampaknya aku kena berusaha lebih lagi untuk mencantikkan blog aku agar nampak lebih menarik.

Takpa...takpa..aku cuba malam ni.. esok tak kerja tak tidur pon takpa..ngeeee!

So, jumpa malam ni! daaaaaaaaa..nak kuar dinner ngan "abg" (aipp! kawan jer tau, blum nak cari pengganti lain! huhuhu)..

Laman Tinta : Blog Imam Muda Asyraf.





.... Tabiatku amat suka menjengah blog-blog yang berunsurkan dakwah, blog-blog ilmiah, blog-blog penulisan cerpen,novel dan blog-blog yang memaparkan berita semasa dan isu semasa. Aku singgah membaca diblog salah seorang imam yang aku kagumi iaitu blog Imam Muda Asyraf. Banyak isu dan entry yang menarik untuk dibaca serta menambah pengetahuan tentang beberapa hal yang menjadi kemusykilan.

Orang yang berperwatakan sederhana ini adalah salah seorang peserta rancangan realiti TV yang mendapat sambutan hangat seluruh negara suatu masa dahulu iaitu Program Imam Muda yang disiarkan di Astro Oasis. Imam Muda Asyraf yang telah beristeri dan kini mempunyai seorang anak adalah peserta imam muda yang pertama menjuarai program itu. Mengapa aku tertarik? sebab nama yang sama dengan nama anak lelakiku Muhd Hafiz Ashyraf. Aku juga berdoa semoga anak-anak lelakiku berjaya didunia dan akhirat seperti imam muda Asyraf ini.

Teman-teman, marilah kita sama menjadi "follower" kepada blog imam muda. Banyak bahan menarik yang boleh dikongsikan bersama. Insyaallah jika yang baik sentiasa kita kejar, maka baiklah jadinya. Alhamdulillah.

Akaun Facebook.

...Sudah agak lama aku memikirkan tentang penutupan akaun facebookku yang telah berdaftar sejak tahun 2008 lagi. Dan aku mula aktif siang dan malam seawal tahun 2009. Banyak yang telah kukenali, banyak yang kupelajari didalam laman sosial ciptaan Mark Zuckerberg Jutawan termuda didunia dan juga pelajar pintar dari Universiti Harvard itu. Dan akhirnya aku mulai mengeluarkan "Notis Pemberitahuan" kepada rakan-rakan FB bahawa aku akan menutup akaun facebook ku dalam sedikit masa lagi.

Pelbagai andaian yang kuterima keatas tindakanku menutup akaun facebookku. Namun segala andaian dan prasangka yang mereka lontar adalah tidak benar. Aku sebenarnya sudah bosan, jemu dan rasa terlalu banyak keburukkannya. Setiap hari bila aku update dan membaca status atupun post rakan-rakan ada diantara mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak baik, mengupload gambar lucah, mengeluarkan perkataan-perkataan lucah, membuka aib pasangan, menghina, menjatuhkan maruah orang lain. News Feed galak memaparkan cerita-cerita panas yang kurang kugemari.

Tidak kunafikan pernah suatu ketika dahulu aku pernah mengeluarkan satu kenyataan yang menyebabkan kontroversi dan gossip semusim. Isu yang dibangkitkan adalah berkenaan "Party" yang dibuat tidak bersesuaian kerana pelbagai adegan dan isu "arak". Aku hanya meluahkan rasa hati kerana tidak begitu senang dengan suasana yang agak terlalu kebaratan. Sedangkan ramai muslim yang menghadiri majlis itu dan ada juga yang membawa anak-anak bersama. Aku mengakui aku bukanlah seorang muslim yang begitu baik, namun aku punya sedikit kesedaran mengenai hukum agama. Dalam hati aku takut pada azab yang Allah beri kerana perbuatan sedemikian jika aku turut bersubahat. Namun menyedihkan ramai yang tidak suka pada kenyataanku, mereka membidas, memberontak dan membalas dengan mengatakan aku tidak boleh mengeluarkan kenyataan itu kerana aku bukan seorang USTAZAH, GURU AGAMA yang bertauliah. Perlukah aku mendapat tauliah sebagai guru agama untuk meluahkan rasa tidak senangku terhadap isu arak? Apa tidak wajarkah aku sebagai anak melayu beragama islam menolak arak? Aku dipertikaikan, namun aku tetap teruskan dan tidak peduli dengan orang-orang yang membidas tindakanku. Bagiku, aku melakukan sesuatu yang benar untuk mengelakkan ramai anak muda terjebak dengan alkohol dan pergaulan bebas walaupun sudah bersuami ataupun beristeri. Lama-kelamaan isu panas itu reda dengan sendiri dan aku lihat ada sedikit perubahan yang dibuat jika mengadakan majlis begitu yang melibatkan orang-orang melayu yang tidak suka dengan kebaratan dan meminum arak walaupun ada segelintir yang masih meneruskannya. Dan aku pun tidak ingin memanjangkan isu itu lagi demi kebaikan bersama.

Sejak dua hari lepas aku memberitahu rakan-rakan facebook tentang penutupan akaunku. Aku harap mereka tetap berkomunikasi dengan ku didalam blogku ini. Dan rasanya biarlah aku meluahkan segala rasa hatiku disini sambil aku menulis Cerpen, puisi dan apa saja bahan yang boleh aku kongsikan. Aku akan memberi masa dalam sedikit waktu lagi sebelum aku menutup terus akaun facebookku.

Masa rehat, aku ingin melelapkan mata sebentar sebelum waktu kerja bermula pada jam 2.00 petang nanti.
Jumpa lagi di entry seterusnya.


Khamis, 2 Februari 2012

Mata Cantik


Cantik dan cute kan?? jika aku berpeluang mempunyai zuriat secantik ini pasti siang dan malam aku tak jemu memandang wajahnya. Anugerah tuhan yang sungguh indah. Aku paling suka kanak-kanak kecil. Tapi ramai juga yang masih bersikap kejam membuang anak kandung sendiri di merata-rata tempat. Jika wajah bayi yang mereka buang tu seperti ini dan memandang mereka seperti ini anda rasa mereka masih sanggupkah membuang atau membunuh??

GEMERSIK KALBU

... Selesai episod malam ni untuk slot Akasia Gemersik Kalbu di TV3 yang diadaptasi daripada novel karya Anis Ayuni, salah seorang penulis kesukaanku. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati daripada cerita ini. Bagaimana hati seorang wanita yang begitu keras hendak memberikan cinta dan kasih sayangnya pada suami yang dikahwininya bukan atas kerelaannya. Ramai juga berkata bercinta selepas kahwin adalah lebih indah dan kekal. Kadang-kadang aku juga membenarkan kata-kata itu kerana banyak contoh dan tauladan yang baik kita lihat tentang CINTA SELEPAS KAHWIN. Contohnya, ibu bapa kita dan nenek moyang kita dulu-dulu. Mereka tidak bercinta dan keluar dating macam kita sekarang dizaman ini kerana janji temu pertama mereka adalah  sewaktu diijabkabulkan, masa dating mereka adalah dimajlis persandingan, dan bulan madu mereka adalah dimalam pertama mereka.

Satu ayat yang paling aku sukai dalam karya Anis Ayuni ini adalah " Dia adalah kenangan, tapi aku adalah kenyataan" dan juga " Dia adalah masa silam, manakala aku adalah masa depanmu". Jika kita hayati dan fahamkan ayat ini memang  sungguh mendalam maksudnya terutama bagi diriku! kenapa? kerana aku sering mengimbas dan menjenguk masa silam yang banyak menyakiti diriku, yang banyak mencarik dengan pedih hatiku, merenung kembali kelukaan yang kubawa selama bertahun-tahun. Aku juga tidak faham kenapa aku begini? kenapa aku harus mengingatinya? dan kenapa aku begitu bermurah hati untuk sering menziarahi kenangan yang terlalu pahit bagi wanita seperti aku?

Ada masa aku memikirkan saat itu, aku tidak harus seratus peratus meletakkan kesalahan padanya. Aku juga harus tahu aku juga bersalah sama dalam setiap perhubungan kami. Aku mungkin bukan wanita yang pandai menjaga hati seorang lelaki, aku juga berkemungkinan bukan yang terbaik buat dirinya walaupun sudah bersama selama sepuluh tahun.Dan mungkin juga dia baru menyedari bahawa aku bukan wanita idamannya. Dan apabila dia bertemu dengan seorang wanita yang mampu memikat hatinya dia dengan tidak berfikir panjang terus memilih wanita lain dan menyingkirkan aku dari hidupnya. Pedih, sakit dan luka yang perit bergabung menjadi satu. Aku hampir gila memikirkannya, berada di pusara kedua orang tuaku sehingga malam, berjalan kesana kemari tidak tentu arah sehinggakan semua mencari dan membawaku pulang. Masa itu kewarasanku tiada kerana rasa, hati dan apa saja yang berkaitan dengan tubuh dan fikiran bagaikan tidak mampu berfikir dengan rasional. Aku hanya mengikut kata hati, aku hanya memikirkan kesakitanku, penderitaanku, kesengsaraanku kerana dalam hatiku hanya dia dan dia saja yang aku cintai! Tapi aku lupa, ada dua pasang mata memerhatikan aku, ada dua tubuh kecil yang memerlukan diriku, dan ada dua orang anak lelakiku yang inginkan belaianku yang asyik memerap dan memikirkan sengsara diri. Akhirnya aku mulai sedar, aku perlahan-lahan bangkit untuk menyembuhkan sendiri sakitku. Aku mengagahi diri berdikari, menahan segala kesusahan yang aku hadapi.

Aku bersyukur mempunyai keluarga yang memahami keadaanku, aku bertuah memiliki dua orang anak yang kini sedang membesar didepan mataku. Kalau aku ingat semula, betapa lalainya aku waktu itu kerana asyik memikirkan cinta dan kasih seorang lelaki yang beralih arah. Ada seorang hamba Allah yang sama-sama bekerja dengan aku, seorang "Abang Haji" yang sering menasihati diriku agar aku menjadi wanita yang tabah dan kuat. Dia ingin melihat aku berjaya mendidik anak-anakku, dia ingin melihat senyuman dan keramahanku. Begitu juga aku amat berterima kasih pada seorang lagi hamba Allah yang sejak dari mula aku hidup bersendirian menjalani hidup ini, dia begitu prihatin dan baik hati ambil berat akan diriku dan anak-anak. Tidak juga kulupakan pada seluruh keluargaku yang memahami diriku, membantuku dan menjagaku didalam suka dan duka. Jika aku menangis, mereka juga turut sama menitiskan airmata. Aku sayang mereka semua!

Ya, memang sakit dilukai, memang sengsara jiwa terhadap sesuatu perkara yang tidak kita jangka akan berlaku. Tiada wanita didunia ini yang inginkan gelaran negatif ini. Kebahagiaan adalah salah satu semangat untuk hidup, tapi jika diduga dan diuji oleh tuhan kenalah terima dan redha walaupun pahit sekalipun kerana tuhan tidak akan menguji hambanya jika hambanya tidak mampu menghadapi dugaan yang DIA beri. Dan ini bermakna aku mampu bangkit dan teruskan semula  kehidupan walaupun dia tiadalah bersama. Dan pada bulan Ramadhan tahun lalu, aku telah memohon sejuta keampunan dan kemaafan daripadanya seandainya  sewaktu aku masih bergelar isteri kepadanya aku melakukan kesalahan tanpa pengetahuanku, melukakan hatinya dan merendahkan dirinya sebagai suami tanpa sedarku. Menitis airmata ini apabila dia juga memohon keampunan dan kemaafan kerana meninggalkan diriku bersama anak-anak, melukakan hatiku, memberi penderitaan padaku dan dia juga berterima kasih kerana aku telah mendidik dan menjaga anak-anak dengan baik. Sedih juga hati ini apabila dia mengatakan bahawa hingga saat ini dalam lubuk hatinya yang paling dalam dia amat menyayangi diriku dan menyayangi anak-anak. Dia juga berpesan agar aku membuka pintu hatiku untuk menerima orang lain sebagai pengganti dirinya. Allahuakhbar! jika pasangan lain sudah tentu tidak begini, tapi inilah kami berdua. Setelah lapan tahun membawa haluan masing-masing akhirnya kita meluahkan segalanya yang terbuku dalam hati walaupun kami tidak akan bersama lagi.

Aku mendoakan yang terbaik buatnya dan aku mengharapkan redha darinya jika aku bertemu seseorang nanti. Cinta ini memang sulit tapi itulah yang dikejar dan dicari oleh manusia didunia ini. Namun paling agung adalah cinta pada Allah S.W.T

Bertemu semula dientry lain. Selamat Malam.


Konflik dan Politik Pejabat.

...Hari-hari yang ku lalui sangat membosankan. Walaupun kerja-kerja pejabat semakin banyak, satu benda pun tidak dapat ku fokuskan. Pergolakkan tugas yang berlaku di pejabat menjadikan suasana selalu tegang. Pengaturan yang tidak baik menyebabkan ramai staff tidak berpuas hati dan merasa tertindas, ditindas dan disakiti. Apatah lagi bila skim baru SBPA yang berkuatkuasa tahun ni dan ada exit policy yang berpandukan pada prestasi kakitangan ramai merungut dan susah hati. Yelah mana tidak susah hati jika mendapat seorang ketua yang tidak bijak menilai kakitangan yang sememangnya boleh membuat kerja dengan baik. Jika ada staff yang mereka senangi maka staff itu akan mendapat ganjaran yang baik walaupun kerja tidak seberapa. Huh! hish!...itulah luahan yang mampu keluar dari hati kecil masing-masing. Hanya mampu memandang tapi susah untuk bersuara dan membantah apa lagi untuk bertindak.

Hari ini, ramai menyatakan ketidakpuasan atas tindakan ketua. Sindiran demi sindiran yang diselitkan dalam perbualan sesama rakan sekerja semakin menjadi dan antara salah satu "pemberontakan" kecil-kecilan ataupun "signal" yang termampu dibuat. Mana tidaknya, jika terang-terang melawan, tempat cari rezeki hanya tinggal kenangan jika "mereka-mereka" itu mula menggunakan kuasa VETO terhadap "serangan-serangan" semut itu.

Beginilah menjadi orang bawahan jika ada yang lebih tinggi dari jawatan yang kita sandang. Kuasa dan sikap tidak bertoleransi dengan baik maka berlaku sesuatu ketidaksenangan kepada para pekerja. Walaupun bukan semua ketua-ketua yang bersikap sedemikian "kejam" namun rasa tidak puas hati atas tindak tanduk mereka tetap bergema dalam diri pekerja. Lebih baik menjadi bos kepada diri sendiri! opppsss! masa rehat hampir kepenghujung, rehat dulu, lelapkan mata sekejap. Jumpa lagi!

Rabu, 1 Februari 2012

2.17 petang..

....Jam 12.30 tadi aku keluar makan tengahhari di Old Town White Coffee di Bandar Indah Jaya Batu 4 dengan seorang "abg" yang banyak memberi sokongan dan semangat sejak dari aku mula bergelar ibu tunggal. Aku banyak berterima kasih padanya kerana selama ini dia begitu mengambil berat akan diriku, anak-anakku dan keadaan hidup kami. Kami bercerita tentang pelbagai topik, isu semasa dan permasalahan di pejabat.

Nanti sambung semula.. malam ini akan ku update. daaaa...

01 Februari 2012, 8.32pagi

Pejabat, kekadang tempat kita cari makan ni banyak dugaannya. Tentang persekitaran, karenah pihak atasan, orang sekeliling dan emosi diri sendiri. Tapi itulah, kebanyakannya kita terpaksa telan sendiri apa yang terjadi dan berlaku dihadapan kita. Kuasa bersuara kita langsung tidak memberi kesan yang baik pada yang berkenaan. Dan memilih untuk selamat kita berdiam diri terpaksa menahan diri.

Ada ketika aku terfikir bila masanya aku meneruskan bakat dan minatku dalam bidang penulisan.Hatiku tidak begitu yakin dan terlalu cepat mengalah dengan keadaan. Selalu terfikir bahawa setiap tulisan yang aku buat sesuaikah dengan pemikiran masyarakat sekarang yang semakin "pintar" menilai.Iya, aku akui mungkin melihat apa isu yang cuba ku bangkitkan, apa tulisan yang patut aku luahkan, semuanya bergantung pada penyampaian penulisanku. Saat bersendirian, samada membasuh baju, memandu kereta ataupun sedang memasak, idea yang menjengah ke minda pelbagai jalan cerita. Namun bila ku jari-jemariku cuba mencoretkan semula kedalam bentuk tulisan, aku jadi buntu! penceritaanku tidak selari dengan apa yang singgah dalam mindaku.Entahlah kenapa, mungkin persekitaran yang kurang sesuai ataupun aku perlu kesuatu tempat yang aman dan menyegarkan untuk menyalinkan idea dari minda ke tulisan. Ermm! boleh difikirkan, Pulau? tepi sungai? dalam rumah yang sunyi dan sepi? dalam kereta? atau atas bangunan?.

Cuma satu sahaja yang perlu diketahui, aku suka menulis, aku suka meluahkan apa yang singgah dihati dan diminda.Ya, mungkin itu caraku menghabiskan sisa-sisa kehidupanku disamping beribadah kepada Allah S.W.T. Aku juga sebenarnya tidak suka membuang waktu dengan berpeleseran, lepak atau membeli belah tanpa tujuan dan matlamat.Dan kerana tabiat inilah aku sering dipertikaikan, aku sering diperlekehkan dan aku sering ditertawakan kerana aku tidak bersosial seperti mana yang orang lain buat. Cukuplah masa remaja yang aku begitu aktif dan gemar menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Aku sudah merasa nikmatnya dunia dengan melakukan pelbagai aktiviti. Namun kini, semenjak usia menginjak ke angka 30-an dan menjadi ibu kepada dua orang anak lelaki, aku lebih suka menghabiskan waktu dengan membaca novel, buku-buku ilmiah, bersantai bersama keluarga dan anak-anak. Dan walaupun aku seorang ibu tunggal, aku bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang memahami dan sayang padaku. Itulah nikmat yang tidak terhingga memiliki anak-anak yang berada disamping kita dan kurnia Allah pada diriku. Alhamdulillah.

Semoga perubahan baik yang berlaku pada diriku sentiasa diberkati Allah, terimalah aku seadanya. Jika dahulu aku melakukan sesuatu yang tidak baik, keampunan dari Allah S.W.T amat aku mohon dan aku juga memohon kemaafan pada insan-insan yang pernah aku lukai samada didalam sedar ataupun tidak. Syukran .






Jumaat, 20 Januari 2012

Jumpa "Dia" lagi.

Jumaat.. 11.19mlm...

Hari ini aku mengambil half day untuk urusan bank. Hari yang tidak ku jangka aku bertemu dengannya. Memang aku gembira dengan pertemuan ini, namun dalam masa yang sama aku sedih sebenarnya. Apakah tuhan mendengar doaku selama ini? Betapa hatiku ini terlalu menyayanginya.

Dipertemuan ini, dia menghampiriku dengan senyumannya. Terbayang sinar matanya bahawa dia juga gembira dengan pertemuan singkat ini. Tiada parking sebenarnya. Aku yang sudah kelewatan untuk berurusan terpaksa berpusing banyak kali mencari jika ada petak kosong. Namun hampa! dan kebetulan aku berrhampiran dengan tempat kerjanya. Kami saling bersms dan akhirnya membawa pertemuan singkat ini.

Ya Tuhan! betapa ku rindu dengan belaiannya, betapa aku rindu gelak tawanya dan betapa aku rindu "marah" sayangnya padaku.Aku membawa hatiku kemana saja kaki melangkah selepas pertemuan itu. Setiap langkahku tidak pernah putus aku mengingati dirinya dan terus berdoa pada Allah semoga ada peluang untuk kami berdua.

Hujan! sekali lagi aku hentikan tulisanku untuk hari ini. Sambung esok. SELAMAT MALAM SAYANG!

Rabu, 18 Januari 2012

ŖİņĐù Đĭ ĤāŤĭ

10.20mlm...


Selepas rutin harianku balik dari kerja, aku berada dalam bilikku seperti biasa dengan laptop, buku sambil mendengar lagu Whitney Houston penyanyi kegemaranku. Sebenarnya aku punya banyak idea untuk meneruskan karya penulisanku yang selama ini kutinggalkan. Namun ada sesuatu yang tidak kena. Dan buat sekian kalinya, karyaku masih tergantung tanpa sebarang penamat.


Arrggh! hatiku ini! terlalu payah sekali untuk menafikan apa yang kurasakan selama ini. Pelbagai cara untuk aku mengubati hatiku namun aku masih begini. Terlalu setiakah aku? walau pada hakikatnya aku terlalu terluka, sakit dan merana. Penderitaan yang kutanggung selama bertahun-tahun seolah-olah aku sanggup lupakan kerana hatiku yang masih sayang padanya! Bodohkah aku? Ya tuhan, kenapa hatiku terlalu keras untuk melepaskan dia pergi?

Huh! sekali lagi aku terpaksa "hentikan" bicara hatiku malam ni.. Selamat Malam.. esok sambung lagi..